Patriotismenya adalah semangat yang murni, universal dan bebas
daripada elemen perkauman. Semangat perjuangan dan pengorbanan ini lahir
daripada nilai-nilai cinta, kasih, sayang dan kesetiaan kepada nusa dan bangsa.
Lazimnya, patriotisme didasari oleh sifat dan sikap
kesukarelaan, keikhlasan, kesanggupan, kesungguhan, dedikasi dan komitmen
seseorang insan untuk mempertahankan kemerdekaan negara dan memelihara
kemerdekaan serta kedaulatan bangsanya.
Matlamatnya supaya perlembagaan, undang-undang, integriti,
kredibiliti, kepentingan, kemajuan, kejayaan, kemakmuran, kesejahteraan,
keharmonian, perpaduan, ketenteraman, keamanan dan kelangsungan bangsa dan
negara ini tidak diganggu-gugat oleh sesiapa.
Oleh itu, patriotisme adalah sesuatu yang abstrak. Ia lahir
daripada tindakan atau perjuangan seseorang yang berasaskan kepentingan negara,
agama dan bangsa.
Patriotisme membabitkan minda, sanubari dan naluri. Ia juga
membabitkan roh dan jiwa, semangat dan keinsafan, serta cinta, kasih dan
sayang.
Di zaman silam, patriotisme di Malaysia sering dimanifestasikan
menerusi kesukarelaan dan keberanian seseorang berperang demi kepentingan ibu
pertiwinya, untuk berjuang menentang penjajah, atau memperjuangkan kemerdekaan
tanah airnya.
Di zaman mutakhir, patriotisme Malaysia dimanifestasikan
menerusi kepimpinan yang berjiwa rakyat, bertungkus-lumus memajukan negara
untuk mencapai taraf dunia dan sentiasa memperjuangkan keselamatan tanah air
dan kesejahteraan ummah.
Patriotisme Malaysia mutakhir juga dibuktikan oleh segolongan
bangsa Malaysia menerusi penciptaan rekod-rekod dunia melalui aktiviti yang
amat mencabar, lasak dan berbahaya.
Contohnya, pelayaran mengelilingi dunia secara solo, berenang menyeberangi
Selat Inggeris dalam tempoh yang tersingkat, memacak dan mengibarkan Jalur
Gemilang di puncak Gunung Everest, dan menawan Kutub Utara.
Oleh itu, patriotisme bolehlah ditakrifkan sebagai semangat
perjuangan dan pengorbanan yang berasaskan nilai-nilai cinta, kasih, sayang,
kesetiaan, kebanggaan, keikhlasan, kesanggupan, kesungguhan dan komitmen seseorang
manusia kepada agama, bangsa dan negaranya.
Patriotisme penting kepada Malaysia . Ia menjadi satu daripada
prasyarat pembentukan bangsa dan pengukuhan ketahanan nasional.
Menerusi patriotisme, bangsa dan negara Malaysia boleh terhindar
dari pancaroba, agamanya terus mulia, jati dirinya tetap unggul, budayanya
mantap, politiknya bebas dari pengaruh universalisme, perpaduannya teguh,
semangat juangnya pukal, dan masa depannya terus cerah.
Pendek kata, dalam konteks suasana dunia hari ini, patriotisme
Malaysia boleh menjadi senjata utama untuk menangkis seluruh elemen dalaman dan
luaran yang boleh mengancam agama, melumpuhkan bangsa dan meruntuhkan negara.
Lantaran itulah patriotisme Malaysia perlu mencakupi seluruh
aspek perjuangan individu, keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara.
Ia perlu mementingkan prinsip-prinsip perjuangan dan
pengorbanan, kewajipan dan tanggungjawab, komitmen dan dedikasi, kesungguhan
dan kesukarelaan, keberanian dan keperkasaan.
No comments:
Post a Comment