Wednesday 16 September 2015

PERPADUAN KAUM DAPAT MENINGKATKAN SEMANGAT PATRIOTISME DALAM KALANGAN PELAJAR

        Patriotismenya adalah semangat yang murni, universal dan bebas daripada elemen perkauman. Semangat perjuangan dan pengorbanan ini lahir daripada nilai-nilai cinta, kasih, sayang dan kesetiaan kepada nusa dan bangsa.
        Lazimnya, patriotisme didasari oleh sifat dan sikap kesukarelaan, keikhlasan, kesanggupan, kesungguhan, dedikasi dan komitmen seseorang insan untuk mempertahankan kemerdekaan negara dan memelihara kemerdekaan serta kedaulatan bangsanya.
        Matlamatnya supaya perlembagaan, undang-undang, integriti, kredibiliti, kepentingan, kemajuan, kejayaan, kemakmuran, kesejahteraan, keharmonian, perpaduan, ketenteraman, keamanan dan kelangsungan bangsa dan negara ini tidak diganggu-gugat oleh sesiapa.
Oleh itu, patriotisme adalah sesuatu yang abstrak. Ia lahir daripada tindakan atau perjuangan seseorang yang berasaskan kepentingan negara, agama dan bangsa.
Patriotisme membabitkan minda, sanubari dan naluri. Ia juga membabitkan roh dan jiwa, semangat dan keinsafan, serta cinta, kasih dan sayang.
        Di zaman silam, patriotisme di Malaysia sering dimanifestasikan menerusi kesukarelaan dan keberanian seseorang berperang demi kepentingan ibu pertiwinya, untuk berjuang menentang penjajah, atau memperjuangkan kemerdekaan tanah airnya.
        Di zaman mutakhir, patriotisme Malaysia dimanifestasikan menerusi kepimpinan yang berjiwa rakyat, bertungkus-lumus memajukan negara untuk mencapai taraf dunia dan sentiasa memperjuangkan keselamatan tanah air dan kesejahteraan ummah.
        Patriotisme Malaysia mutakhir juga dibuktikan oleh segolongan bangsa Malaysia menerusi penciptaan rekod-rekod dunia melalui aktiviti yang amat mencabar, lasak dan berbahaya.
        Contohnya, pelayaran mengelilingi dunia secara solo, berenang menyeberangi Selat Inggeris dalam tempoh yang tersingkat, memacak dan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Everest, dan menawan Kutub Utara.
Oleh itu, patriotisme bolehlah ditakrifkan sebagai semangat perjuangan dan pengorbanan yang berasaskan nilai-nilai cinta, kasih, sayang, kesetiaan, kebanggaan, keikhlasan, kesanggupan, kesungguhan dan komitmen seseorang manusia kepada agama, bangsa dan negaranya.
       Patriotisme penting kepada Malaysia . Ia menjadi satu daripada prasyarat pembentukan bangsa dan pengukuhan ketahanan nasional.
Menerusi patriotisme, bangsa dan negara Malaysia boleh terhindar dari pancaroba, agamanya terus mulia, jati dirinya tetap unggul, budayanya mantap, politiknya bebas dari pengaruh universalisme, perpaduannya teguh, semangat juangnya pukal, dan masa depannya terus cerah.
       Pendek kata, dalam konteks suasana dunia hari ini, patriotisme Malaysia boleh menjadi senjata utama untuk menangkis seluruh elemen dalaman dan luaran yang boleh mengancam agama, melumpuhkan bangsa dan meruntuhkan negara.
Lantaran itulah patriotisme Malaysia perlu mencakupi seluruh aspek perjuangan individu, keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara.
Ia perlu mementingkan prinsip-prinsip perjuangan dan pengorbanan, kewajipan dan tanggungjawab, komitmen dan dedikasi, kesungguhan dan kesukarelaan, keberanian dan keperkasaan.


OBJEKTIF ADALAH SUPAYA PELAJAR DAPAT:

a. mengenal diri dan mencintai warisan bangsa dan negara.

b. mempunyai perasaan cinta dan bangga terhadap agama, bangsa dan negara.

c. bersemangat kekitaan, berdisiplin dan hidup bermasyarakat dan harmonis.

d. memahami dan menghargai usaha-usaha negara dalam pembangunan dan kemajuan

e. membina dan mengembangkan kefahaman, kesedaran dan kepekaan terhadap isu-isu dalam masyarakat serta berupaya untuk bertindak dengan sewajarnya

f. bersemangat ingin berusaha dan melibatkan diri secara aktif dan produktif untuk kemajuan bangsa dan negara.


KESIMPULAN

Kesimpulan daripada masyarakat berbilang kaum semangat patriotisme dapat membantu pembangunan masyarakat dan pembangunan ekonomi. Serta, pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dapat dilakukan dengan mudah kerana masing-masing mempunyai inisiatif untuk membangunkan negara. Selain itu, industri pelancongan dapat dikembangkan. Disamping itu, negara berdaulat dan dihormati oleh orang ramai. Akhir sekali, negara boleh menggorak langkah yang lebih jauh untuk mencapai negara maju bukan sahaja dari aspek ekonomi tetapi jati diri bangsa negara tersebut.

No comments:

Post a Comment